Salam kepada semua.
Pada entry kali ini, aku akan menulis tentang seorang kawan. Aku mempunyai seorang kawan perempuan. Aku mengenalinya semasa kami di tadika lagi. Kawan aku ini agak istimewa. Istimewanya bukan kerana dia cacat anggota badan mahupun akal fikiran. Istimewanya disebabkan ibunya yang hilag akal fikiran setelah kematian suami, itulah cerita orang kampung yang aku tahu.
Aku mengenali kawan aku ini semasa di tadika. Dia amat jarang datang kesekolah. Sungguhpun apabila dia datang kesekolah, keadaan dirinya amat teruk. Dia datang dalam keadaan busuk yang sangat, rambut yang tidak pernah bersikat dan mungkin baju yang tidak pernah berbasuh. Aku dan kawan-kawan yang lain selalu mengelak dari berkawan dengannya. Akan tetapi, atas nasihat cikgu, beberapa orang kawan lain dan aku mula bercakap dengannya. Dia seorang yang sukar berkawan, namun dia gemar bermain dengan permainan yang berada dalam tadika itu. Dia seorang yang pemarah dan berani. Apabila ada beberapa orang budak lelaki yang nakal mengejek ibunya yang kurang siuman itu, dia akan memarahi dan mengejar budak lelaki itu untuk membeikan pengajaran.
Seingat aku, kami bersekolah bersama sehingga darjah 2. Aku dan dia berlainan kelas dan dia juga amat jarang datang kesekolah. masuk darjah 3, aku langsung lupa padanya. Ini kerana dia langsung tidak menjejakkan kakinya kesekolah lagi. Mungin dia sudah berhenti sekolah? Aku pun kurang pasti. Aku terdengar orang-orang tua bercerita bahawa ibunya dimasukkan ke institusi sakit jiwa. Dia kemudiannya di jaga oleh saudara mara.
Aku kemudiannya masuk sekolah menengah harian biasa yang mempunyai asrama. Aku tinggal di asrama sehingga tingkatan 3. Tapi, setiap kali cuti sekolah aku akan balik ke rumah. Kadang-kadang, aku nampak ibunya berjalan-jalan di sekeliling kampung. Ibunya hanya tinggal di institusi sakit jiwa selama 2 tahun sahaja. Aku tidak pernah nampak kawan aku itu lagi, walaupun dengan ibunya. Kali terakhir aku melihat kawan aku itu adalah semasa kami darjah 2, dia sedang mengejar seorang budak lelaki yang mengejek-ejek ibunya. Sekarang, ibunya juga tiada lagi di kampung aku. Kemana mereka pergi, aku pun tidak pernah tahu dan tidak pernah ambil tahu sehinggalah sekarang.
Tujuan aku menulis entry ini bukan untuk mengaibkan sesiapa. Aku cuma teringat kawan istimewa aku dan ibunya yang malang itu dan tertanya-tanya bagaimana keadaan mereka sekarang. Semoga dia dilindungi dan dirahmati ALLAH S.W.A sentiasa. Aamin.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment